Friday, June 20, 2014

Majlis Perpisahan dan Budaya Tutup Sekolah

Pada 26 Mei 2014 yang lalu, telah diadakan majlis perpisahan guru j-QAF iaitu Pn. Nurhabibi bt Ariffin yang tamat kursus pada hari tersebut. Beliau akan menunggu tawaran sebagari guru sandaran terlatih yang akan ditentukan oleh piahk kementerian nanti. Guru Bertugas pada minggu tersebut iaitu Pn. Ku Asma bt. Ku Ahmad yang mengendalikan majlis pada hari tersebut. Majlis seperti biasa dimulakan dengan nyanyian lagu 'Negaraku",  "Pendidikan Cemerlang Kedah Gemilang" dan lagu "Sentiasa Mendahului". Seterusnya, Ustaz Azmir Helmi b. Abd Halim mengetuai bacaan doa.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Nurhabibi bt. Ariffin. Keadaan sebak mula terasa dalam ucapan yang disampaikan kerana terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini. Dalam ucapan yang disampaikan, beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak terutamanya pihak pentadbiran, guru-guru dan semua murid yang telah banyak membantu dan membimbing beliau sepanjang berada di sekolah ini. Beliau juga memohon maaf kepada semua warga sekolah SKST. 

En. Aminuddin b. Abidin selaku Penolong Kanan Pentadbiran mengucapkan terima kasih kepada Pn. Nurhabibi dan berharap beliau akan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk dikembangkan dengan sebaiknya. PK Pentadbiran mewakili pihak sekolah memohon maaf sekiranya ada kekurangan dan masalah yang timbul sepanjang beliau menjalankan praktikum di sini. Pihak sekolah mendoakan agar Pn. Nurhabibi menjadi seorang guru yang cemerlang dan berdedikasi dalam menyampaikan ilmu. 

Sebelum berakhirnya perhimpunan pada pagi tersebut, PK Pentadbiran menyampaikan beberapa pesanan kepada murid-murid yang akan mula bercuti pada 27 Mei 2014. Beliau mengingatkan murid-murid menggunakan masa cuti ini dengan sebaik-baiknya. Murid-murid tahun 6 diingatkan mengikuti kelas tambahan pada minggu pertama cuti persekolahan berpandukan jadual yang telah diedarkan.

Murid-murid diingatkan membersihkan kelas sebelum pulang dan menyusun perabot dengan baik. Beliau juga mengingatkan murid-murid mengambil kerja rumah atau latihan daripada guru-guru mata pelajaran berkaitan dan menyiapkannya pada masa cuti sekolah. Beliau mengucapkan selamat bercuti kepada semua murid dan menyampaikan pesanan salam kepada para waris masing-masing.







No comments:

Post a Comment